Dipetik dari buku Tasawuf Modern oleh HAMKA
Kalau engkau KAYA
Senangkanlah hatimu
Kerana di hadapanmu terbentang kesempatan utk mengerjakan segala yang sulit-sulit.
Segala perbuatanmu dihargai orang, engkau beroleh pujian di mana-mana.
Engkau menjadi mulia, tegakmu teguh.
Di hadapan engkau terhampar permaidani kepujian,
sebab itu engkau beroleh kebebasan dan kemerdekaan.
Jika engkau FAKIR MISKIN
Senangkan pulalah hatimu!
Kerana engkau telah terlepas dari suatu penyakit jiwa,
Penyakit kesombongan yang selalu menimpa orang kaya.
Senangkanlah hatimu kerana tak ada orang yang akan hasad dan dengki kepada engkau lagi,
lantaran kemiskinanmu.
Kefakiran dan kemiskinan adalah nikmat,
yang tidak ada jalan bagi orang lain buat kecil hati,
dan tidak ada pintu bagi kebencian.
Kalau engkau DERMAWAN
Senangkanlah hatimu!
Kerana dengan kedermawanan engkau dapat mengisi tangan yang kosong,
telah dapat menutup tubuh yang bertelanjang,
engkau tegakkan orang yang telah hampir roboh.
Dengan sebab itu engkau telah menuruti perintah hatimu
dan engkau beroleh bahagia
Berpuluh bahkan beratus makhluk Tuhan
akan menghantarkan pujian kepada Tuhan lantaran pertolonganmu,
Kesenangan hatimu yangg tadinya
Cuma satu, sekarang akan berlipat ganda,
sebab telah banyak orang lain yang telah mengecap nikmatnya.
Kalau sekiranya engkau TAK KUASA JADI DERMAWAN
Itupun senangkanlah hatimu!
Sebab engkau tidak akan bertemu dengan suatu penyakit
yang selalu menular kepada masyarakat manusia,
iaitu tiada membalas guna, penghilang jasa.
Mereka ambil kebaikan budi dan kemedermawananmu itu jadi senjata
untuk menjatuhkan tuduhan-tuduhan yg rendah.
Saat yang demikian mesti datang kepada setiap dermawan,
yang menyebabkan hati kerapkali patah dan badan kerapkali lemah,
sehingga hilang kepercayaan kepada segenap manusia,
disangka manusia tidak pembalas guna
Padahal langkah belum sampai lagi kepada puncak kebahagiaan
dan beroleh ampunan dari Tuhan.
Kalau engkau masih MUDA REMAJA,
Senangkanlah hatimu!
Kerana pohon pengharapanmu masih subur,
dahan-dahannya masih rendang dan rimbun.
Tujuan kenang-kenangan masih jauh.
Sebab umurmu masih muda,
mudahlah bagimu menjadikan mimpi menjadi kenyataan yg sebenarnya.
Kalau engkau telah TUA,
Senangkan pulalah hatimu!
Kerana engkau telah terlepas dari medan pertempuran dan perjuangan yang sengit,
dan engkau telah beroleh beberapa ilmu yang berguna di dalam sekolah hidup.
Engkau telah tahu firasat,
mengerti gerak geri manusia dan tahu kemana tujuan jalan yang ditempuhnya
Oleh sebab itu, segala pekerjaaan yang engkau kerjakan itu
kalau engkau suka lebih banyak akan membawa faedah
dan lebih banyak tersingkir daripada bahaya.
Satu detik daripada umurmu di masa tua,
lebih mahal harganya daripada bertahun-tahun di zaman muda,
sebab semuanya telah engkau lalui
dengan pandangan yang terang dan pengalaman yang pahit.
Kalau engkau dari KETURUNAN YANG MULIA-MULIA,
Tenangkanlah hatimu!
Kerana dirimu tergambar dan terpeta di dalam hati tiap-tiap sahabat itu.
Kalau engkau memang di dalam kalangan sahabat yang banyak itu,
lazat rasanya kemenangan,
dan kalau kalah tidak begitu terasa.
Lantaran banyaknya orang yang menghargai dan memperhatikan engkau,
engkau dapatlah insaf,
tandanya harga dirimu mahal dan timbanganmu berat.
Yang penting ialah engkau dapat keluar dari penyakit mementingkan diri seorang,
memandangkan hanya engkau yang benar,
lalu masuk ke dalam daerah yg baru,
iaitu mengakui bahawa ada lagi orang lain yang pintar,
yang berfikir dan kuasa menimbang.
Jika MUSUHMU BANYAK,
Senangkanlah pula hatimu!
Kerana musuh-musuh itu ialah anak tangga untuk mencapai kedudukan yang tinggi.
Banyak musuh menjadi bukti atas sulitnya pekerjaan yang engkau kerjakan.
Tiap-tiap bertambah maki celanya kepada engkau,
atau hasad dengkinya,
atau mulutnya yang kotor dan perangainya yang keji,
bertambahlah teguhnya pendirianmu bahwa engkau bukan barang murah,
tetapi barang mahal,
dari celaannya yang benar-benar mengenai kesalahanmu,
engkau dapat beroleh pelajaran.
Mula-mula maksudnya hendak meracunimu dengan serangan-serangannya yang kejam dan keji,
maka oleh engkau sendiri,
engkau saring racun itu dan engkau ambil untuk pengubat dirimu mana yang berfaedah,
engkau buangkan mana yg salah.
Ingatlah:
Pernahkah seekor burung helang yang terbang membubung tinggi
memperdulikan halangan burung layang-layang yang menghalanginya?
Kalau BADANMU SIHAT,
Senangkanlah hatimu!
Tandanya telah ternyata pada dirimu kekayaan Tuhan dan kemuliaan nikmat-Nya,
lantaran badan yang sihat,
mudahlah engkau mendaki bukit kesusahan dan menempuh padang kesulitan.
Kalau engkau SAKIT,
Senangkan pulalah hatimu!
Kerana sudah ternyata bahawa dirimu adalah medan tempat perjuangan
di antara dua alam yang dijadikan Tuhan,
iaitu kesihatan dan kesakitan.
Kemenangan akan terjadi kepada salah satu yang kuat,
kesembuhan mesti datang sesudah perjuangan itu,
baik kesembuhan dunia,
atau pun kesembuhan yang sejati.
Kalau engkau menjadi ORANG LUAR BIASA,
Senangkanlah hatimu!
Kerana pada tubuhmu terdapat cahaya yang terang benderang
tandanya Tuhan selalu melihat engkau dengan tenang
sehingga menimbulkan kesuburan dalam fikiranmu,
dilihat-Nya otakmu sehingga cerdas,
dilihat-Nya matamu sehingga jadi azimat,
dilihat-Nya suaramu sehingga jadi sihir.
Bagi orang lain,
perkataan dan tiap-tiap suku kalimah yg keluar dari mulutnya
hanya menjadi tanda bahwa dia hidup sahaja.
Tetapi bagi dirimu sendiri menjadi cahaya yang berapi dan bersemangat,
boleh meninggikan, boleh memuliakan dan boleh menghinakan,
sehingga bolehlah engkau berkuasa berkata kepada alam:
“Adalah”,
sehingga dia pun “Ada”.
Kalau engkau DILUPAKAN ORANG, KURANG DIKENAL,
Senangkanlah hatimu!
Kerana lidah tidak banyak yang mencelamu,
mulut tidak banyak mencacatmu,
tak ada orang lain yang dengki kepadamu,
tak ada orang yang berniat jatuhkanmu,
mata tak banyak memandangmu.
Itu dihadapanmu ada puncak bukit kemuliaan
orang yang masyhur itu berdiri di atas masyarakat,
dan engkaupun salah seorang dari anggota masyarakat itu.
Rumah batu yang indah,
berdiri di atas kumpulan tanah dan pasir-pasir yang kecil.
Dengan demikian itu engkau akan merasai kesenangan hati
yang kerapkali tak didapat olehnya
yang bibirnya tak pernah merasai air hidup
dan rohnya tak pernah mandi di dalam ombak ilham.
Kalau SAHABATMU SETIA KEPADAMU,
Tenangkanlah hatimu!
Kerana pertukaran siang dan malam telah menganugerahi engkau kekayaan yang paling kekal.
Kalau KAWANMU KHIANAT,
Senangkan juga hatimu!
Sebab kalau kawan-kawan yang khianat itu mungkir
dan meninggalkan engkau, tandanya dia telah memberikan jalan yang lapang buat engkau.
Kalau TANAH AIRMU DIJAJAH atau DIRIMU DIPERHAMBA,
Senangkanlah hatimu!
Sebab penjajahan dan perhambaan membuka jalan bagi bangsa yang terjajah
atau diri yang diperhamba kepada perjuangan melepaskan diri dari belenggu.
Itulah perjuangan yang menentukan hidup atau mati,
dan itulah yang meninggalkan nilai.
Ketahuilah bahawa tidaklah didapat suatu bangsa yang terus menerus dijajah.
Jika engkau dari BANGSA MERDEKA,
Senangkanlah hatimu!
Sebab engkau duduk sama rendah dan tegak sama tinggi dgn bangsa-bangsa yang lain,
ada bagimu kesempatan mencari kekuatan baru.
Kemerdekaan itu mesti diisi dgn bahan-bahan yang baik,
dan bagimu terbuka kesempatan yg seluas-luasnya untuk itu.
Kalau engkau HIDUP DALAM KALANGAN ORANG YANG KENALKAN DIRI DAN CITA-CITA ENGKAU,
Senangkanlah hatimu!
Kerana disana engkau dapat mengusahakan tenaga muda setiap hari,
dan kekuatan pun bertambah,
roh serta semangat menjadi baru.
Engkau bertambah subur dan tegak menaungi lautan dan daratan.
Kalau engkau HIDUP DI KALANGAN MASYARAKAT YANG MASIH RENDAH,
yang tidak mengerti bagaimana menghargai cita-cita orang,
sehingga engkau merasa ‘sial-dangkal’,
maka senangkan juga hatimu!
Kerana dengan sebab itu engkau beroleh kesempatan jadi burung,
lebih tinggi terbangmu daripada orang-orang yang patah sayap itu.
Engkau boleh melayang ke suatu langit khayal,
untuk mengubati fikiranmu yang gelisah,
untuk melepaskan dahaga jiwamu.
Kalau engkau DICINTAI ORANG DAN MENCINTAI,
Senangkanlah hatimu!
Tandanya hidupmu telah berharga,
tandanya engkau telah masuk daftar orang yang terpilih.
Tuhan telah memperlihatkan belas kasihan-Nya kepadamu
lantaran pergaduhan hati sesama makhluk.
Dua jiwa di seberang masyrik dan maghrib
telah terkongkong dibawa satu perasaan di dalam lindungan Tuhan.
Di sanalah waktunya engkau mengetahui rahsia perjalanan matahari di dalam falak,
ketika fajarnya dan terbenamnya,
tandanya Tuhan telah membisikkan ke telingamu nyanyian alam ini.
Lantaran yang demikian dua jiwa berenang di langit khayal,
di waktu orang lain terbenam.
Keduanya berdiam di dalam kesukaan dan ketenteraman,
bersenda gurau di waktu bersungguh-sungguh.
Jika engkau MENCINTA TETAPI CINTAMU TAK BERBALAS,
Senangkan jugalah hatimu!
Kerana sesungguhnya orang yang mengusir akan jatuh kasihan
ingin kembali kepada orang yang diusirnya itu setelah dia jauh dari matanya,
dia akan cinta,
cinta yang lebih tinggi darjatnya daripada cinta lantaran hawa.
Terpencil jauh membawa keuntungan insaf,
kebencian meruncingkan cita-cita dan membersihkan perbuatan.
Sehingga lantaran itu hati kan bersih,
laksana bejana kaca yang penuh berisi air khulud,
air kekal yang dianugerahkan Tuhan.
Dengan sebab itu,
engkau akan beroleh juga kelak tempat merupakan cinta itu.
Kalau tidak ada pada insan.
Bersedialah menerima menyuburkan cinta,
walaupun bagaimana besarnya tanggunganmu,
kerana cinta memberi dan menerima,
cinta itu gelisah, tetapi membawa tenteram.
Cinta mesti lalu di hadapanmu,
sayang engkau tak tahu bila lalunya.
Hendaklah engkau jadi orang besar, yang sanggup memikul cinta yang besar.
Kalau tak begitu, engkau akan beroleh cinta yang rendah dan murah,
engkau menjadi pencium bumi,
engkau akan jatuh ke bawah,
tak jadi naik ke dalam benteng yang kuat dan teguh,
benteng yang gagah perkasa yang sukar tertempat oleh manusia biasa.
Kerana tugu cita-cita hidup itu
berdiri di seberang kekuasaan dan kemelaratan
yang diletakkan oleh kerinduan kita sendiri.
Merasa tenteramlah selalu,
senangkanlah hatimu atas semua keadaanmu,
kerana pintu bahagia dan ketenteraman itu
amat banyak tak terbilang
kesulitan perjalanan hidup kian minit,
kian baru.
Merasa senanglah selalu!
Merasa tenteramlah!
No comments:
Post a Comment